Hidupkan Jiwa Dengan Kemaafan

Anda bangun pada waktu pagi dengan penuh keluhan, rungutan demi rungutan menyusul mengenang hari semalam yang penuh sengsara. Dikenang-kenang pula luka di hati, dibelek-belek parut itu kembali hingga kembali berdarah, seolah-olah hati ini baru tertarah. Perasaan membuak-buak, tiada tenang, amarah bergelora. Harimu penuh dengan kecewa, penuh gusar dan gundah. Rasa menyampah dan meluat kepada insan yang bertanggungjawab atas calar di hatimu meluap-luap. Maka tiadalah hatimu rasa desir angin pagi mu hari itu damai, dan anda melihat orang sekelilingmu pernah mencalar-balarkan hatimu. Lalu anda berasa hari-harimu berlalu dengan panjang dan bosan, bilakah semua ini akan berakhir?
Ah, gundahnya jiwa mu, resahnya jiwa mu, dimanakah ketenangannya?
Jiwa kita tidak akan pernah tenang selagi kita tidak mahu menghidupkan jiwa kita dengan kemaafan.
Kita hidup penuh dendam, penuh amarah, rasa menyampah pada insan amat mendalam, hingga harga kemaafan kita melambung tinggi, hingga tidak terbeli. Kita mungkin berasa puas melambung-lambungkan kemaafan, membiarkan ia tergantung tinggi tanpa memberinya kepada sesiapa, tetapi bahagiakah kita? Kita mungkin berasa bahagia, ya, bahagia yang sengsara. Hidup kita penuh rungutan, tidak habis-habis, benci sana benci sini, tidak letihkah?
Kesakitan hati yang kita alami, hingga kita merasakan kemaafan itu tidak berbaloi. Tidak cukup dengan sepatah kata maaf, atau barangkali terlalu sukar untuk memaafkan. Kesakitan itu makin lama makin dalam, mungkin ia terbius dengan dendam yang kita simpan, namun sakitnya tetap ada. Kita seringkali hanya mengulangi kesakitan itu tanpa mahu mengubatnya, terus-menerus mencucuk bius dendam.
Siapa kata kemaafan itu tidak berbaloi?
Apa salahnya kita memaafkan? benar, sukar untuk memaafkan tetapi tidsak mustahil untuk melupakan dan memaafkan. forgive and forget. Sememangnya kita lumrahnya sukar untuk memaafkan, namun berusahalah! Ia mungkin ambil masa, mungkin seminggu, sebulan atau mungkin lebih lama. Manusia sukar untuk melupakan kesilapan orang lain, belajarlah memaafkan, dan berusahalah melupakan!
Anda tidak biasa memaafkan, teruslah cuba berusaha untuk memaafkan, kelapangan hati akan menyusul kemudiannya, insyaAllah. Mungkin marah kita belum reda walaupun kita berkata bahawa kita memaafkan, itu lumrah! Lambat-laun, diiring dngan doa insyaAllah, ketenangan itu akan menyusul, tidak ada lagi marah kita. Tidak ada lagi dendam kita. Dan kesakitan itu, hanya tinggal parut di zahir, dikenang-kenang pun tidak bisa menarah kembali!
Ya, hidupkan jiwa anda dengan kemaafan. Jangan biar bius dendam itu terus-menerus membius luka hati anda hingga jiwa anda mati kerana sakitnya yang tidak terasa itu.
Barangkali kita jenis yang mudah melenting, saya tidak menafikannya, saya juga mengakui diri saya juga mudah sekali melenting. Namun, mudahkanlah diri untuk memaafkan, cuba melupakan kesakitan yang dialami. Sabar tetapi hati penuh dendam tidak berguna, sabar kita jadi sia-sia. Benar kita marah, tetapi kemudian maafkanlah. Kita mahukan sabar, sabar yang sempurna! Sabar menahan marah, berusaha memaafkan kesalahan dan teruskan berdoa. Itulah yang akan menghidupkan jiwa kita.
Berusahalah menghidupkan jiwa kita dengan kemaafan. Jiwa yang penuh dengan kemaafan itulah membuahkan kesabaran yang sebenar.
Marah itu lumrah, kitalah yang perlu mengawalnya. Sikap mudah melenting bukan alasan untuk tidak memaafkan.
Saya juga sebenarnya seorang yang mudah melenting. Hendak dijadikan cerita, saya memiliki kamera berjenama Lumix DMC-F2 berharga RM 349 yang saya beli dengan duit yang saya simpan selama 2 tahun. Semasa menghadiri satu majlis rasmi asrama, saya telah meminta seorang rakan saya untuk mengambil gambar semasa acara penghargaan exco asrama. Setelah aturcara itu berakhir, saya mahu mengambil kamera itu kembali.
Alangkah terkejutnya saya apabila kamera itu telah diberi kepada orang lain oleh rakan saya tadi untuk mengambil gambar. Saya terkejut kerana sangka saya dia yang akan menangkap gambarnya. Mulanya, saya tahankan marah saya, saya kembali ke tempat duduk saya. Terlalu lama menunggu, akhirnya saya meminta kamera itu kembali. Namun saya disuruh tunggu dahulu kerana majlis terlalu sibuk, setelah menyuruh begitu rakan saya itu kembali menguruskan majlis.
Dengan marahnya saya kembali ke tempat duduk saya. Saya duduk dengan muka yang marah, majlis itu serta-merta jadi suram buat saya. Itulah, hati yang mula dikuasai amarah. saya rasa ketika itu susahnya nak mengawal amarah kerana ia melibatkan kamera yang paling saya sayangi kerana itulah barang yang saya beli hasil duit simpanan saya selama 2 tahun, apatah lagi kamera itu diserah oleh rakan saya kepada orang yang saya tidak berapa percaya. Setelah majlis agak reda, saya mencari rakan saya itu untuk meminta kamera. Apabila saya memintanya, dia mengatakan kamera itu masih lagi pada tangan orang lain.
Ketika itu saya rasa sabar saya hilang terus. Saya terus merengus kasar dan mahu beredar, rakan saya itu melihat saya begitu, mahu meminta maaf. Namun hati saya rasanya sudah penuh amarah, astaghfirullah, saya tak pedulikan rakan saya itu dan terus beredar ke tempat duduk saya. Tiba di tempat duduk, saya menolak kerusi berdekatan hingga terjatuh sebelum saya duduk dek kerana marahnya.
Rakan saya Sarah cuba menenangkan saya, hingga akhirnya saya kemudiannya rasa bersalah pula. Rasa bersalah pada rakan saya tadi.
Terus saya teringat sebuah hadith dari Abu Hurairah r.a, seorang pemuda meminta nasihat darpada Rasulullah SAW, lalhu baginda menjawab, “Jangan marah!” Pemuda itu meminta perkara yang sama oleh Rasulullah SAW, maka tetap Rasulullah SAW mengatakan, “Jangan marah!”
Ketika itu saya dihimpit dua perasaan, rasa marah kerana rakan saya tadi tidak menjaga kamera saya dengan baik, dan rasa bersalah kerana tidak memaafkan kesalahan rakan saya tadi. Saya kemudian teringat hadith bahawa, Rasulullah SAW pernah bersabda seandainya kita marah pada seseorang, ingatlah kebaikan dia kepada kita dan ingat pula kesalahan kita kepadanya, moga-moga kemarahan kita akan reda.
Astaghfirullah. Saya mengucap, sebenarnya sudah banyak jasa yang rakan saya taburkan namun baru hari ini dia melakukan kesilapan kepada saya sudah saya marah-marah begini. Akhirnya, saya terus menerus dihimpit rasa bersalah. Kesalahan rakan saya tadi, saya maafkan. Tidak lagi saya menyimpan dendam.
Tidak berapa lama kemudian, kamera saya dipulangkan oleh Epa. Dia memberitahu bahawa rakan saya tadi meminta maaf.
Selesai majlis itu, saya berjumpa pada rakan saya itu, namun dia masih lagi meminta maaf, barangkali tak pernah melihat saya begitu marah kepadanya. Saya kemudian berkata bahawa saya tidak lagi marah kepadanya.
Saya manusia, anda juga manusia, kita sama-sama manusia, belajarlah untuk memaafkan. Kita tidak rugi apa-apa pun jika kita menuturkan maaf. Namun jika kita terus-menerus menyimpan dendam, kita juga tidak lah untung apa-apa pun. Bahklan mematikan jiwa sendiri. Penuhkanlah jiwa kita dengan kemaafan, biar jiwa kita hidup, tanpa dendam, hari-hari yang kita lalui akan lebih ceria.
Ya, mungkin sesetengahnya memakan masa. Tetapi apa salahnya berusaha?
Allah Maha Pengampun. Dia mengajar manusia supaya saling memaaf-maafkan, kerana manusia yang tidak sempurna selalu lalai di muka bumi namun Allah yang Maha Sempurna tetap memaafkan. inikan pula sesama kita, manusia yang tidak pernah sempurna, tiada yang lebih, tiada yang kurang, melainkan ketaqwaan kita jua, maka tidak perlulah kita memahalkan harga maaf kita hingga melampaui batas.
Semakin murah kemaafan kita, semakin hampir kita dengan Allah. Kerana apa?
Kerana Allah Maha Pemurah lagi maha Pengampun. Kemaafan Allah adalah yang paling murah, Dia sentiasa memaafkan hamba-hambaNya. Kemaafan yang murah, semakin hampir kita dengan kemaafan Allah jua!
Maka hidupkanlah jiwa kita dengan kemaafan. Bukanlah mengharapkan maaf kita dihargai, cukuplah redha dan kemaafan daripada Allah pula melimpah ke atas diri kita.
Sampai bila kita mahu membius luka hati kita dengan dendam? Seperti gigi yang sudah rosak namun hanya dibius untuk menghilangkan kesakitan, walaupun sebenarnya masih boleh dirawat. Sakitnya tetap ada, walaupun tidak terasa, lambat laun gigi kita juga semakin rosak jika tidak dirawat. Begitu juga dengan jiwa kita, hidupkanlah ia dengan kemaafan!
Ayuh, sama-samalah kita maaf-memaafkan!
p/s : kpd rakan sye yg sye marah mse jamuan asrama tu, sye maafkn n minta maaf sbb marah !
Kredit : SYERAHO
Penulis Bebas
12.33 PM, 10 FEB 2011

One thought on “Hidupkan Jiwa Dengan Kemaafan

Comments are closed.