Bagai Mulut Ayam, Tiada Henti Bercakap

Mulut ayam atau dari erti kata lain dalam peribahasa yang berbunyi “mulut bagai ekor ayam dihembus” atau lebih dikenali dalam peribahasa yang lain, “moncong seperti ekor ayam” bermaksud seseorang yang tidak berhenti-henti bercakap dan juga yang tidak tahu erti diam. Individu ini juga mungkin lebih dikenali dalam masyarakat melayu kita sebagai “mulut murai” atau “banyak mulut”.
Biasanya seseorang yang bercakap banyak ini tidak mudah merajuk. Mereka ini tergolong dalam golongan yang berfikiran terbuka. Tetapi, jika banyak bercakap, semakin banyak pula kesalahannnya. Hal ini kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin ramai orang yang akan sakit hati dengan kata-kata kita.
Pesan Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, api nerakalah yang layak untuk dirinya.” (Hadis riwayat Baihaqi). Jika sudah banyak dosa, maka tentulah neraka yang paling layak untuk si mulut murai ini, seperti sabda Rasulullah s.a.w, “Tidaklah dihumban muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelik) lidahnya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)
Pepatah Melayu juga ada mengatakan, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Berapa ramai di kalangan kita yang dapat menjaga lidah? Peliharalah lidah kita daripada menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, bercakap kosong, mengumpat keji dan mengadu-domba. Bukanlah kita tidak dibenarkan bercakap, tetapi jika terlalu banyak bercakap, tentulah banyak kesalahan yang terkeluar daripada percakapan kita itu dan natijahnya banyak juga dosa kerana kita telah membuat orang terasa hati dengan kata-kata kita.
Imam Nawawi juga ada berpesan, kita seharusnya menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia, kecuali jika percakapan itu boleh mendatangkan kebaikan. Jika asyik bercakap sedangkan percakapan itu tidak memberi faedah apa-apa, tiada guna juga. Sebaliknya, gunakanlah bicara kita dengan mengeluarkan kata-kata yang berhikmah.
Perlukah kita bercakap banyak atau lebih baik berdiam diri? Pada pandangan saya, lebih baik kita berdiam diri sahaja. Hal ini kerana bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik kita berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin menjerumus kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku, tetapi jarang kita dapati kebaikan daripadanya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Jika tiada apa yang hendak diperkatakan, lebih baik kita ambil inisiatif dengan berdiam diri sahaja. Daripada hadis di atas, dapatlah kita memahami bahawa seseorang yang beriman itu sentiasa mengawasi lidahnya dalam berkata-kata dan apabila berkata hanya kepada perkara yang memberi manfaat kepada dirinya dan juga orang lain.
Bercakap banyak juga boleh mendatangkan banyak kelemahan. Sebagai insan biasa pastinya kita tidak dapat lari daripada kekangan melakukan kesalahan, kerana manusia bukanlah malaikat yang Allah jadikan cukup sempurna. Namun begitu Rasulullah s.a.w. telah mewasiatkan kepada kita Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan di dalam kehidupan seharian kita, maka jika kita tersesat, terlupa, tersilap dan sebagainya maka kembalilah kita kepada Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.
Islam amat menuntut umatnya supaya berhati-hati ketika berkata-kata dan ingatlah tentang 5 perkara yang perlu disebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini. Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk, perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia, perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan, jangan menyebut-nyebut kebaikkan diri dan keluarga, dan yang terakhir jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Banyak bercakap juga menjadikan hati kita mati. Thabit bin Qurrah berkata, “Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan.”
Hati adalah tempat untuk kita rasa berkasih sayang, rasa pemurah, rasa bertuhan, rasa cemas, takut dan beribuan lagi rasa. Hati juga sangat sensitif serta mencorakkan akhlak, peribadi dan kehidupan manusia.
Rasulullah s.a.w ada menyebut, “Dalam diri manusia ada seketul daging, kalau baik daging itu baiklah seluruh kehidupan manusia, kalau jahat maka jahatlah kehidupan manusia itu, ketahuilah kamu itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hati yang bersih adalah cerminan dari bersihnya jasad. Walau bagaimana pun, setiap tubuh badan manusia mempunyai segumpal daging yang bernama hati. Hati yang menentukan sifat seseorang itu. Banyak berkata-kata yang sia-sia itu mematikan hati kita kerana kita mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati orang lain, bergelak ketawa yang berlebihan serta bicara kata-kata yang sia-sia tanpa arah tujuan.
Bercakap banyak juga petanda akhlak buruk. Jika percakapan yang keluar daripada seseorang itu perbuatan elok dan terpuji, maka orang tersebut baik budi pekertinya. Sebaliknya, jika percakapan yang keluar adalah perbuatan jahat, maka jahatlah budi pekertinya.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.”
Maksud tsarsarun ialah orang yang banyak bercakap, mutafaihiqun pula ialah orang yang sombong manakala mutasyaddiqun ialah mereka yang bercakap tanpa berhati-hati. Bercakap banyak itu adalah tergolong dalam akhlak yang buruk. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah s.a.w dan ingin dekat dengannya di akhirat, maka hendaklah ia memperbaiki akhlak dan peribadinya.
Kesimpulannya, keselamatan seseorang itu terletak pada penjagaan lisannya. Jika baik tutur bicaranya, maka baiklah akhlaknya dan jika buruk budi bicaranya maka buruklah perangainya. Oleh itu, berhati-hatilah ketika berbicara, dan jagalah tutur percakapan kita serta kurangkanlah berkata-kata kerana ianya akan mengurangi kesalahan dalam pertuturan kita. Jagalah lidah kita sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah s.w.t
KREDIT : http://anasyuhadda.blogspot.com/

3 thoughts on “Bagai Mulut Ayam, Tiada Henti Bercakap

  1. kata2 seseorang tu kdg2 lebih tajam dr sebilah pedang..kan?
    wahh..belajar peribahasa kita hr ni dgn kak maya

Comments are closed.