Akibat Buruk Sangka

masyaAllah..

*terkesima*

tak mengapalah.
aku tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa.
aku hidup di muka bumi ini untuk mencari keredhaan Allah SWT, bukan keredhaan manusia.

” Tidak memperdulikan keredhaan manusia jika di sebalik itu ada Kemurkaan Allah ‘Azza wa Jalla. Sebab setiap orang di antara satu sama lain saling berbeza dalam sikap, rasa, pemikiran, kecenderungan, tujuan dan jalan yang ditempuh.

Berusaha membuat manusia redha adalah suatu yang tiada penghujungnya, tujuan yang sulit diketahui dan tuntutan yang tidak terkabul. Tetapi membuat Allah Redha adalah kemuncak diterimanya Amalan “

cuma sama-samalah kita beringat.
jika kita bersangka buruk, pahala amalan baik kita akan diambil oleh orang lain.

aku kongsikan satu kisah Rasulullah SAW yang dipetik dari Sirah A-Nabawi untuk kita renungkan.

Dalam Sirah An-Nabawi, kita berdepan dengan satu peristiwa yang menimpa rasulullah s.a.w dan keluarga baginda, iaitu kisah ‘Hadis Ifqi’ (berita dusta) yang cuba disebarluaskan oleh musuh-musuh Islam; yang menjadi dalang utamanya ialah si munafik Abdullah bin Abi Salul.

Ceritanya bermula pada saat kepulangan tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w dari suatu medan perang. Saidatina Aishah r.a meninggalkan tempat duduknya di atas unta (pondok kecil yang diletak di atas kenderaan seperti pada zaman raja dahulu kala) untuk ‘menunaikan hajat’. Apabila beliau kembali, beliau mendapati rantai lehernya telah hilang.

Aisyah berpatah balik mencari rantai itu. Sesampainya di tempat tentera, didapatinya tentera sudah berangkat meninggalkan tempat itu. Mereka yang ditugaskan mengawasi keselamatan Aisyah tidak sedar ketiadaan Aisyah dalam tempat duduk itu, mereka terus mengangkat pondok kecil itu ke atas belakang unta dengan sangkaan Aisyah berada di dalamnya, kerana Aisyah berbadan kecil dan ringan.

Aisyah terus menunggu di situ dengan harapan mereka akan menyedari kehilangannya. Seperti biasa Rasulullah menempatkan seorang petugas terakhir di belakang pasukan tenteranya sebagai pengawal, iaitu Safwan bin al-Mukthal.

Pada ketika Safwan membuat pemeriksaan terakhir, beliau ternampak satu bayang-bayang bergerak. Apabila diamat-amatinya, ternyata itu adalah Aisyah. Lalu beliau merendahkan untanya dan menyuruh Aisyah menaiki unta itu dan beliau berjalan di belakang tanpa bercakap sepatah pun dengan Aisyah.

Mereka sampai di Madinah ketika waktu Zuhur. Semua orang menyaksikan ketibaan mereka berdua. Seluruh kota Madinah gempar dan heboh. Cerita sumbang dan palsu diuar-uarkan oleh musuh-musuh Islam.

Tentu dapat kita bayangkan betapa keadaan Rasulullah s.a.w ketika itu dalam menghadapi peristiwa tersebut. Apa yang terdaya dilakukan oleh Aisyah selain menangis, sedangkan dia sedar dirinya suci dan bersih. Keadaan berlangsung selama sebulan.

Aisyah bersabar menantikan ketentuan Allah s.w.t terhadap dirinya. Ia teringat akan perihal kisah Nabi Yaakob a.s yang katanya:

“…Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan kepada Allah jualah dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu.”

Akhirnya, tiba juga penentuan Allah s.w.t. Mana mungkin Allah membiarkan Rasul-Nya dan kekasih-Nya tertekan perasaan begitu sahaja. Dengan itu turunlah firman Allah s.w.t yang menyatakan kesucian Aisyah:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa datangnya berita yang amat dusta itu, ialah segolongan dari kalangan kamu, janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyebarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang berat (di dunia dan diakhirat kelak).”

Peristiwa tersebut memberi pengajaran yang sangat besar bagi setiap orang yang cepat bersangka buruk daripada mengutamakan sangka baik.

P/S : Bermuhasabah diri setiap hari, jadikanlah diri kita seorang yang dapat menguasai was-was, bukan orang yang dikuasai was-was

16 thoughts on “Akibat Buruk Sangka

Comments are closed.