Baik atau Buruk. Kita Boleh Berubah.

Manusia boleh berubah dalam sekelip mata saja dengan izin Allah. Kalau harini kita baik, kita jangan mengata yang jahat, sebabnya, mana tahu suatu hari nanti, dia yang jahat tu akan jadi lebih baik dari kita yang rasa macam dah cukup baik ni. Allah itu Maha Tahu. Dengan izin Dia, segalanya mungkin.

Lagi pula, sebelum Allah meniupkan roh ke jasad kita, kita sudah ada perjanjian dengan Allah tentang apa yang bakal kita lalui di dunia ini dan sudah diberitahu bila kita akan mati. Segala apa yang kita lakukan di dunia ini sekarang, semuanya telah di takdirkan oleh Allah. Tapi kita kena ingat. Takdir ada 2 jenis. Satunya takdir mubram yang tidak boleh diubah, satunya lagi takdir muallaq yang boleh diubah berdasarkan amalan kita.

Jadinya, kalau Allah sudah takdirkan seseorang itu menjalani hidup dengan penuh keimanan dan ketaqwaan, tetapi akan mati dalam kekufuran, cuma doa sahaja yang mampu mengubah takdir itu. Berdoa supaya diberi ketetapan iman dan mendapat rahmat-Nya kerana penentu Syurga atau Neraka itu bukan berapa banyak amalan kita saja, tetapi bergantung pada rahmat Allah juga.

Ada satu hadis Nabi dari Abdullah bin Mas’ud,

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ada salah seorang dari kalian beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya tinggal satu hasta, tapi takdir mendahuluinya lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka, lantas ia memasukinya.

Dan sesungguhnya ada salah seorang dari kalian beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya tinggal satu hasta, tapi takdir mendahuluinya, lalu ia beramal dengan amalan ahli syurga, lantas ia memasukinya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Aku teringat ada satu kisah yang pernah aku dengar tentang dua orang lelaki di zaman dahulu.

“Ada seorang ahli ibadah yang menghambakan diri pada Allah seumur hidupnya dan selalu menghabiskan masa di masjid. Suatu hari, terdetik dalam hati dia, yang dia tak pernah berbuat jahat sekali pun. Dia tiba-tiba berasa teringin nak mencuba sekali berbuat jahat. Dia fikir, apalah salahnya sekali dia mencuba berbuat jahat sedangkan dia sudah menghabiskan bertahun-tahun dengan menyembah Allah. Sudah pasti tidak akan ada apa-apa kesan pun terhadap amalan yang sudah banyak.

Ada pula seorang lelaki jahat yang sejak azali mengamalkan cara hidup yang salah. Dia suka minum arak dan membunuh orang. Suatu hari, terdetik di hati dia, yang dia mahu bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Dia menyesali segala perbuatan dan mahu membersihkan diri dan pergi ke masjid untuk mengabdikan diri kepada Allah. Ahli ibadah dan lelaki jahat bertembung di tangga masjid, yang mana ahli ibadah itu mahu turun dari masjid untuk menunaikan niat jahatnya, manakala lelaki jahat itu mahu naik ke masjid bagi menunaikan niat baiknya.

Dengan kuasa Allah, mereka berdua terjatuh lalu mati di tempat kejadian. Si lelaki jahat mati dalam iman manakala si ahli ibadah mati dalam kekufuran. Subhanallah. Dalam sekelip mata sahaja kan manusia boleh berubah. -(sumber ingat-ingat lupa. Kalau ada yang tahu cerita asal, tolonglah bagitahu ye.)

Ada lagi satu kisah lain tentang seorang ahli ibadah bernama Barsyisyo.

Barsyisyo adalah seorang ‘abid yang sangat kuat beribadah kepada Allah sejak beratus tahun lamanya. Imannya yang kuat akhirnya ditewaskan oleh Iblis yang telah menyamar membuatkan Barsyisyo terpedaya lalu menjadi kufur. 

Iblis memberitahu bahawa Barsyisyo perlu berzina untuk membolehkan dia bertaubat kepada Allah lalu Allah akan mengurniakannya nikmat dalam beribadah yang tidak terkata. Iblis memberi 3 pilihan kepada Barsyisyo, 1. Berzina 2. Membunuh 3. Minum arak.

Barsyisyo memilih pilihan ketiga iaitu minum arak, yang dirasakannya adalah yang paling ringan, namun setelah mabuk, dia telah melakukan zina dan membunuh sekali. Akhirnya, Barsyisyo dijatuhkan hukuman.

Sebelum mati, dia bukan hendak mengingati Allah, tetapi telah terpedaya sekali lagi dengan tipu helah Iblis. Akhirnya, Allah menetapkan bahawa Barsyisyo adalah penghuni neraka selama-lamanya. (sumber diambil dari – Kufurnya seorang ‘Abid.)

Pengajarannya daripada kisah-kisah ni, walau sebanyak mana pun amalan yang telah dikumpulkan, tetap saja penghujung hidup kita nanti adalah yang paling penting dan dikira Allah. Berdoalah banyak-banyak pada Allah agar dimudahkan jalan kita. Kalau jahat, minta diberi hidayah agar boleh berubah ke arah kebaikan. Kalau baik, minta Allah tetapkan hati supaya boleh istiqamah dan sentiasa berada di jalan yang benar serta menemui penghujung yang baik.

Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk)

 

Aminnn InsyaAllah.

Usah terlalu cepat melatah dengan perubahan yang berlaku. Usah kita sangka penerimaan orang sama dengan maksud sebenar kita. Juga usah terlalu mendambakan apa yang kita hajati ditunaikan mengikut acuan yang kita sediakan. Siapa tahu kan? Rambut sama hitam (andai tidak diwarnakan blonde) tapi hati lain-lain.

Lalu,

Usah biarkan perasaan menguasai pemikiran.
Usah biarkan nafsu mengaburi pandangan mata hati.
Usah benarkan kawan bertukar menjadi lawan.
Usah dilenyapkan perasaan suka untuk ditukar dengan benci.
Sayang benar jika nilai persahabatan tercalar dengan keraguan yang sia-sia.
Bersangka baik bukanlah lebih baik?

KREDIT & KREDIT