Kenapa Mesti Marah?

Semua orang ada sifat marah tapi jika marah tanpa sebab-musabab atau terlalu mengikutkan perasaan itu mungkin menyebabkan kebencian kepadanya dan manusia seperti ini selalunya kurang senang jika kehendaknya tidak dapat dipenuhi.

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Jika kita tidak bersalah atau melakukan perkara yang telah dituduh kenapa perlu kita marah, sebaliknya kita perlu membincangkan & menerangkannya dengan sebaik mungkin.

Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta’awwuz ( A’uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

Marahnya Rasulullah Shollallahu allaihi wassalam

Suatu kisah ketika Rasulullah SAW sedang duduk ditengah-tengah para sahabat, tiba-tiba datang seorang rahib yahudi bernama Zaid bin Sa’nah. Kemudian dia menyambar kain Rasulullah SAW dan berkata dengan kasar; “Ya Muhammad! Bayarlah hutangmu. Kamu keturunan Bani Hasyim melambat-lambatkan pembayaran hutang.”

Sememangnya ketika itu Rasulullah SAW berhutang dengan yahudi tersebut. Tetapi Rasulullah mengerti bahawa masa yang dijanjikan untuk membayarnya belum sampai. Melihatkan keadaan sebegitu, Saidina Umar r.a lalu bangun dan menghunus pedangnya. “Wahai Rasulullah SAW, izinkan aku memenggal leher manusia yang kurang ajar ini.”

Namun, dengan penuh kelembutan dan ketenangan Rasulullah SAW bersabda; “Ya Umar, aku tidak disuruh berdakwah dengan cara yang kasar. Antara aku dan dia memang memerlukan kebijaksanaan daripadamu. Suruhlah dia menagih hutangnya dengan sopan dan ingatkanlah aku supaya aku dapat membayar hutangku dengan baik.”

Mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, orang yahudi itu pun berkata: “Demi yang mengutusmu dengan kebenaran, sebenarnya aku tidak akan datang untuk menagih hutang, tetapi aku datang untuk menguji akhlakmu. Aku mengerti masa untuk melunaskan hutang itu sebelum sampai waktunya. Akan tetapi aku telah membaca sifat-sifatmu dalam kitab Taurat. Semua sifat-sifatmu sungguh terpuji. Namun masih ada satu sifatmu yang belum aku ketahui iaitu tentang kebijaksanaanmu bertindak ketika waktu marah. Ternyata tindakan ceroboh yang dilakukan orang terhadapmu, engkau masih dapat mengawalnya dengan cara bijaksana.”

Ini merupakan satu hakikat yang aku saksikan sendiri, maka terimalah Islamku ya Rasulullah SAW, kemudain orang yahudi itupun mengucap dengan mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Rasulullah SAW adalah pensuruh ALLAH.

Kemudian ia berkata lagi: “Wahai Rasulullah, adapun hutangmu, aku sedekahkan kepada fakir miskin dan kaum muslimin”

Demikianlah antara sebuah kisah kehebatan akhlak Rasulullah SAW dalam menghadapi marah. Manakala, hari ini dalam menguruskan kemarahan yang terjadi tanpa diminta, adalah menjadi tanggungjawab setiap insan dalam menghadapi situasi yang mudah mengundang marah, memerlukan tindakan pantas kepada memikirkan sabar.

Rasulullah bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah).”

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku!. Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).

8 thoughts on “Kenapa Mesti Marah?

  1. bile baca ni mcm semangat je lps ni xmo marah2
    tp bile smp waktu itu, tetap jugak nk marah2
    haaiishh byk nau setan dlm hati aku ni

Comments are closed.