Mampukah Kita Mengikuti Jejak Abu Nawas?

Kenapa perlu kita mempersenda orang yang telah berubah ke arah kebaikan?

‘Dah nak mati ke dia?’
‘Dah taubat nasuha ke dia?’
‘Nak pergi ke Mekah ke dia ni dok minta-minta maaf kat orang?’
‘Baru pakai tudung dah berlagak alim’
‘Letak status hadis bagai kat facebook, macam bagus je’

Kenapa kita perlu bersangka buruk?
Kenapa hati penuh hasad?

Hidup ini hanya sementara.
Kita tak akan hidup selama-lamanya.
Mengapa tidak diberikan peluang untuk seseorang bertaubat?
Sedang Nabi mengampunkan umatnya.
Sedang Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Siapa kita untuk mempertikaikan perubahan manusia yang jelas setaraf sesama kita?

Ambil lah contoh Abu Nawas atau nama sebenarnya Abu Hani Muhammad bin Hakami, seorang sasterawan besar dalam khazanah sastera Arab abad Pertengahan. Beliau menggubah sajak senda gurau, memuja cinta dan kecantikan wanita, sindiran halus namun tajam. Malah dalam keadaan mabuk beliau menggubah syair syair yang menyanjung keistimewaan minuman keras.
Beliau juga sering memprovokasi kalangan agamawan dan kalangan yang menjunjung tinggi akhlak kesopanan.

Namun menjelang usia tua, ia berubah ke arah kebaikan. Menjadi tekun beribadah, tawadlu dan jarang berbicara. Dari beberapa anekdot yang dihimpun oleh para pengamat puisi Abu Nawas, terungkap, al yakhzah diri Abu Nawas tergugah pada suatu malam di bulan Ramadhan. Mungkin bertepatan dengan “Lailatul Qadar”. Konon, ketika dalam keadaan separuh sedar Abu Nawas didatangi sesorang yang berkata :-

“Ya, Abu Hani, idza lam takun milhan tuslih, fa la takun zubabatan tufsid (Wahai Abu Hani, jika engkau tak mampu menjadi garam yang melazatkan hidangan, janganlah engkau menjadi lalat yang menjijikkan)

Abu Nawas langsung merasa dirinya sebagai lalat. Kotor dan hina dina. Ia sedar, tahun-tahun kehidupannya tidak membawa manfaat sebagaimana garam memberi kesedapan. Justeru ia terus-terusan merosakkan moral generasi anak bangsa, baik melalui ucapan, tulisan, maupun tingkah laku. Padahal merosak dilarang keras oleh Allah SWT (Alquran Surah Al Qashash ayat 77).

Sejak peristiwa aneh itu, Abu Nawas, mengganti syair-syair dengan zikir. Memindahkan malam-malamnya dari kafe, bar atau pub, ke masjid. Ia tidak ingin lagi menjadi lalat. Biar tak jadi apa-apa, asal tidak membawa kerosakan bagi dirinya dan orang lain.

Abu Nawas mungkin salah satu contoh manusia yang mendapat barakah hidayah. Seorang yang berhasil mencapai husnul khatimah. Apakah pada masa sekarang akan muncul Abu Nawas-Abu Nawas lain, yang segera meninggalkan jejak kelam dunia tak bermoral, memasuki alam terang menuju jalan keselamatan?

Sesungguhnya, sesiapa yang amalannya pada hari ini lebih baik daripada semalam, dia adalah orang yang beruntung.
Sesiapa yang amalannya pada hari ini sama dengan hari semalam, dia daripada golongan yang rugi.
Sesiapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, dia tergolong dalam golongan yang dilaknat oleh Allah SWT.

aku mungkin tidak mampu menjadi garam yang melazatkan hidangan.
tetapi aku juga tidak mahu menjadi lalat yang merosakkan makanan.
bagaimana dengan kamu yang gembira bersorak menyindir dan mempersendakan aku?
garam atau lalat? pilihan di tangan kamu.