Maaf : Memberi VS Menerima

Artikel yang dipetik dari SINI
Selamat membaca!

Bismillahirahmanirrahim…

Semalam saya amat sukar untuk melelapkan mata, sehingga jam tiga pagi mata saya masih terkebi-kebil. Saya tidak pasti puncanya kenapa, sedangkan sebelum ini sambil membaca pun boleh tertidur.

Saya mula muhasabah diri…juga memikirkan mungkin ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada ahli keluarga atau teman rapat. Kadangkala kejadian begini berkait rapat dengan ketenangan hati dan kedamaian jiwa. Mungkinkah ada tingkah yang terlanjur atau kesilapan yang tidak disengajakan menyebabkan perasaan menjadi tidak keruan dan terganggu tidur sepanjang malam.

Walau apapun, Alhamdulillah..Allah masih memberi peluang untuk saya memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri.
Ketenangan bukan boleh dibeli dan dicari tetapi ianya adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan amat perlu dihargai.

Dalam melayari kehidupan sehari-hari, sudah pasti banyak keputusan yang perlu dibuat, pelbagai tindakan yang perlu diambil. Justeru ketenangan minda amat perlu dititikberatkan agar keputusan dan tindakan menjadi tepat untuk kebaikan semua yang terlibat.

Bagi mendapatkan ketenangan, selain hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia juga perlu dijaga. Seandainya ada kesilapan dan kesalahan, ringankan mulut untuk memohon kemaafan.

Kadangkala kita merasa hairan, sukar benarkah untuk meminta maaf? Atau rugikah kita apabila memohon maaf? Usah pertahankan ego yang tidak menguntungkan atau tidak pernah merasa diri bersalah dengan sesiapa dek perasaan hebat menguasai jiwa. Mengalah dan memohon maaf bukan tandanya lemah atau kecundang, tetapi ia menterjemahkan hati budi, indahnya pekerti kerana kelembutan hati yang dimiliki dan perasaan sayang yang bertapak di sanubari.

Yakinlah..memohon kemaafan bukan bermakna kita telah tewas mempertahankan prinsip atau menyebabkan maruah tercalar kerana terpaksa merendah diri, tetapi ianya menterjemahkan nilai murni yang terpahat kukuh di dalam diri.

Adakalanya kemaafan yang dipohon tidak pula bersambut, kononnya perbuatan yang dilakukan cukup menggoreskan, walaupun darah yang mengalir sudah kekeringan dan luka yang merobek telah sembuh tetapi parutnya tetap masih ada dan kesakitan yang dirasai amat sukar dilupakan.

Sukar sangatkah untuk memberi kemaafan, rugikah kita membuang dendam bagi menjernihkan keadaan, atau kita menunggu kematian menjenguk tiba barulah kita hendak melangsaikan hutang perasaan sepenuhnya dalam diri kita.

Segeralah memberi kemaafan, kerana kalau ianya dibiarkan berlarutan..kesannya diri sendiri akan menderita, fikiran menjadi kusut dan emosi juga akan terganggu. Kekecewaan, kedukaan, kehampaan, kerisauan dan kepedihan sentiasa berperang di dasar jiwa..kalau sebegini keadaannya tenangkah hidup kita?

Dalam kehidupan kita amat perlu untuk saling memberi dan juga menerima. Mohonlah kemaafan apabila membuat kesilapan dan kesalahan, apatah lagi seandainya perbuatan dan tindakan serta tutur bicara kita telah menyebabkan orang lain tidak selesa.

Selain itu, bersegeralah memberi kemaafan kepada sesiapa sahaja atas segala perlakuan yang mengguris perasaan kita..kita serupa, ada kelemahan dan ada kekuatan, sebab itu kita perlu saling melengkapkan.

Justeru usah kita tunggu orang lain untuk memohon maaf daripada kita, berilah kemaafan walaupun tidak diminta. Ya..memang sukar untuk memaafkan, juga sukar untuk melupakan.

Siapalah kita sedangkan Allah sendiri Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah SWT; “…(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahu pun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang membuat kebajikan”. (Al-Imran :134).

Anda dan saya..kita tiada beza, punya hati dan perasaan yang perlu dijaga dan dikawal selia. Marilah sama-sama kita berusaha untuk belajar memberi kemaafan tanpa dipinta kerana kita tidak mahu ketenangan dan kedamaian jiwa tercalar dek kekerasan hati kita. Kemaafan yang diberi menandakan kemenangan diri untuk melawan nafsu marah yang terpendam persis api di dalam sekam. Kalau ada kesilapan dan kesalahan mungkin yang tidak kita sengajakan, ringankan mulut untuk menuntut kemaafan agar hati merasa tenang dan lapang dan tiada lagi kekeruhan antara dua jiwa.

Ayuh bersegeralah kita..gugurkan dendam dan luka lara, manisnya persaudaraan perlu dipelihara kerana sebagai manusia kita saling memerlukan, kerana kita mudah lupa. Justeru amat penting ingat mengingati antara kita kerana fitrah manusia cintakan kedamaian dan keharmonian dan amat memerlukan kasih dan sayang.

Marilah kita menadah tangan berdoa ke hadrat Allah SWT agar hati-hati kita disatukan ke arah kebaikan. “Ya Allah, perbaikilah hati-hati kami dalam kebaikan, dan perelokkanlah hubungan antara kami, dan tunjuklah kami jalan-jalan ke syurga-Mu, dan selamatkanlah kami daripada kegelapan ke Nur-Mu dan jauhilah kami daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan fitnah, sama ada yang zahir atau yang tersembunyi”. Amin..

Moga anda dan saya..sentiasa bersedia untuk memberi kemaafan dan tidak lupa juga untuk berusaha mendapatkan keampunan. InsyaAllah..ketenangan jiwa akan menjadi hak milik kita bersama.
Bertemu lagi..

P/S : S e b a k………..

10 thoughts on “Maaf : Memberi VS Menerima

  1. Nak qoute yg ni je

    “Justeru usah kita tunggu orang lain untuk memohon maaf daripada kita, berilah kemaafan walaupun tidak diminta. Ya..memang sukar untuk memaafkan, juga sukar untuk melupakan.”

    Tu lah tu..sukar melupakan sebenarnya, bkn sukar memaafkan. Lagipun sakit tu masih ada. Hurm… Tp, Insyallah, boleh memaafkan (serta melupakan) 🙂

    • sekali kita memaafkan, apa lah salahnya kita melupakan?
      kerana tidak melupakan lah timbulnya ungkit mengungkit kerana masih ada dendam di hati lalu sebenarnya maaf itu sekadar ucapan tidak lahir dari hati.

Comments are closed.