Bersahabat perlu memberi dan menerima, memberi maaf dan menerima maaf

Juga artikel yang sangat menarik untuk dibaca.
Kredit DI SINI.

Abu (panggilan kami sekeluarga kepada ayah) selalu berpesan, “Jadilah anak yang soleh. Berbakti pada agama, tak lupa keluarga dan pilih kawan yang baik” untuk setiap anak-anaknya sebelum masing-masing melangkah keluar rumah mencari halatuju hidup masing-masing.

Hampir 10 tahun saya hidup di bawah jagaan Umi Abu dan baki 10 tahun lagi, saya hidup merantau ke sana ke mari. Dari hidup di asrama hinggalah merantau ke negeri orang mencari ilmu. Namun, apa yang sama ialah saya masih memegang azimat keduanya dalam perjalanan hidup iaitu pilihlah kawan yang baik kerana 20 tahun perjalanan hidup saya, dicorakkan oleh pelbagai ragam dan perangai kawan di sekeliling. Tutur kata, perwatakan, pendidikan, semangat perjalanan saya sehingga ke hari ini banyak dicorakkan oleh kawan-kawan saya ini.

Tepat kata orang,”Setiap pertemuan akan bertemu dengan perpisahan”.

Saya merasakan harga yang paling mahal dan sukar untuk dibayar dengan seorang kawan adalah perpisahan. Membayarnya adalah sesuatu yang sangat menyedihkan. Seseorang itu sepatutnya bersedia, redha, sabar di saat hati yang hiris dengan kesedihan.

Pernahkah kita sedar bahawa setiap orang yang hadir dalam hidup kita telah menambah erti kehidupan pada diri kita? Sedar tak sedar, kita selalu lupa mereka ini akan berjauhan meninggalkan kita atau kita yang akan berjauhan meninggalkan mereka. Jika kita hari ini menjadi seseorang, kita menjadi seseorang kerana si dia. Dengan si dia, kita telah menemui pelbagai ragam manusia yang adakalanya menggembirakan, adakalanya menyakitkan, mungkin juga mengecilkan hati kita. Namun, sedar tak sedar, kita telah pelajari sebuah kehidupan dari baik buruknya si dia.

Soalan 1: Adakah kita berterima kasih kepada mereka? Yang pernah menambah asam garam dalam resepi kehidupan ini?

“Manusia tidak pernah lari dari kesilapan”. Kata-kata ini membuat kita mengakui bahawa setiap orang mempunyai kekurangan sekaligus mengajar kita bahawa “manusia belajar dari kesilapan”, walaupun kesilapan itu dilakukan oleh orang lain.

Ada ketikanya kita rasa kecil hati atas lupanya seseorang pada kita. Mungkin juga kita sakit hati kerana kita tak dimaklumkan tentang perkara itu, dan ditambah pula mengetahuinya dari orang yang lain.

Namun kita tidak sedar bahawa dia mungkin pernah mengajar kita erti kehidupan lebih banyak dari apa yang dia sakitkan hati kita. Mengapakah kita terlalu keras hati sehingga terlalu mahal harga kemaafan kita?
Tak mahu bertanya sapa, tak mahu mendekati, tak mahu menerima nasihat dan tak mahu, tak mahu dan tak mahu.

Kerana mungkin kita terlalu sayangkan hati kita? Kuat merajuk dan mudah terasa hati?

Soalan 2: Atas dasar apakah kita bersahabat?

Mempelawa makan di rumah.
Mengajak bersolat jemaah.
Pergi camping bersama.
Meminjam duit.
Menceritakan tentang masalah keluarganya
Menyebut apa dia suka dan benci
Menerima pelawaan walaupun keadaan tak mengizinkan
dll

Pernahkah sahabat kita melakukan perkara di atas? Jika pernah, bermaksud dia mahu membina persahabatan atas dasar kepercayaan. Kita berkongsi cerita, gosip, masalah, berita dengan sahabat semuanya di atas dasar percaya. Percaya perlu dibalas dengan percaya.

Soalan 3 : Bagaimana mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat?

Mengapakah seseorang itu merumitkan lagi masalah dengan tidak memaafkan? Sedangkan, lebih mudah menghabiskan cerita yang rumit itu dengan memaafkan? Kita sebenarnya telah membayar harga yang lebih mahal kerana itu, iaitu dengan memendam sakit hati, berpisah, dan dendam – hanya kerana enggan memaafkan.

Tahukah kita bahawa Rasulullah telah menjadi orang yang berjaya kerana dirinya yang sangat pemaaf? Dia dibenci, dia dicaci, didengki, namun kerana memahami semua itu adalah hakikat manusiawi, dia memaafkan. Kita mungkin boleh berfikir sendiri, akan manusia yang sangat terpuji akhlaknya. Mungkin Rasulullah itu maksum, bersih hati jiwanya, dan kita tak mampu lakukannya. Tapi bukankah nabi diturunkan agar kita mencontohinya?

Kita bakal lagi akan diuji dengan pelbagai lagi ragam manusia. Bukan kawan yang seorang itu saja. Tetapi kita tentu akan tenteram jika kita memaafkan mereka.
Usah merumitkan lagi cerita jika penyelesaiannya hanya dengan mengucapkan sebuah kemaafan andai mereka pernah menjadi rakan, kenalan, atau keluarga kita.

Maafkan sahaja.
Kembalilah bersaudara.

Andai Habil dibunuh kerana hilang rasa persaudaraan daripada satu pihak. Andai agama ini pernah membayar harga persaudaraan Muhajirin dan Ansar itu dengan letih dalam berhijrah. Mengapakah kita menggadaikan persaudaraan itu semudah-mudahnya, angkara perkara yang kecil, tetapi dibesar-besarkan?

Rugilah orang yang memutuskan persaudaraan.

6 thoughts on “Bersahabat perlu memberi dan menerima, memberi maaf dan menerima maaf

  1. kadang2 sy rasa diri sy ni seorang yg tegar tentang memberi dan menerima maaf tp seiring bertambahnya usia dan pengalaman hidup sy rasa sy perlu berubah demi kebaikkan umat sejagat…huishh umat sejagat peginya 😉

    • betul watie.
      hidup ini singkat saja.
      usah la dibuang masa memendam perasaan dan amarah yang membuak, sebab kelak kita semua akan berjumpa di SANA

Comments are closed.